Albert Tei minta SPRM siasat MB, ADUN Bukit Kepayang

SEREMBAN: Ahli perniagaan, Albert Tei hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana berjumlah RM180,000.

Ia susulan pendedahan dua dokumen peruntukan itu bagi menjalankan program atau aktiviti kesejahteraan rakyat untuk bulan Julai sehingga September 2026 yang dimasukkan ke dalam bank akaun Pusat Khidmat DUN Bukit Kepayang itu pada 4 Jun lalu.

Tei berkata, sepatutnya mana-mana ADUN tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wakil rakyat pihak kerajaan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu.

“Nampak dalam surat itu tercatat dengan jelas bahawa wang itu adalah untuk kegunaan program ataupun aktiviti kesejahteraan rakyat bagi bulan Julai sehingga September 2026.

“Kita sedia maklum bahawa DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun. Oleh itu, saya mempersoalkan apakah punca kuasa untuk menggunakan dana itu selepas pembubaran DUN, Nicole Tan (ADUN Bukit Kepayang) bukan lagi ADUN atau exco,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir aktivis politik, Chegubard.

Albert turut mempersoalkan tindakan penyaluran dana berkenaan yang didakwa dibuat sehari sebelum pembubaran DUN dan mempersoalkan sama ada wang berkenaan digunakan sebagai dana politik.

“Selepas bubar (Nicole) tidak layak lagi, dia tidak mempunyai kuasa untuk mewakili kerajaan ataupun menggunakan dana itu.

“Justeru, saya ingin tanya di mana dana RM180,000 itu sekarang? Simpan di mana? Apa yang dia gunakan untuk RM180,000 untuk kepentingan peribadi atau kepentingan politik?” soalnya.

Tambahnya, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat sama ada terdapat sebarang unsur salah guna kuasa, penipuan atau penyelewengan dana.

“Saya memberi masa tiga hari kepada Pengarah SPRM Negeri Sembilan untuk membuka kertas siasatan, jika beliau gagal menjalankan siasatan kami terpaksa berhimpun di sini dalam masa terdekat dan akan memberi tekanan lebih besar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *