’Alamat saya memang di Negeri Sembilan’ – Albert Tei

SEREMBAN : Ahli perniagaan, Albert Tei, menegaskan beliau sememangnya layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kerana alamat yang tertera pada kad pengenalannya adalah di negeri ini.

Menurut Albert atau nama sebenarnya, Tei Jiaan Cheing, 37, alamat yang didaftarkan pada kad pengenalannya ialah di Taman Seremban Jaya, Seremban.

“Saya ingin menjelaskan kepada Anthony Loke bahawa alamat dalam kad pengenalan saya memang berada di Negeri Sembilan. Jadi saya tidak faham mengapa beliau mendakwa saya bukan penduduk negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang sebelum ini menyarankan beliau menukar alamat terlebih dahulu sekiranya berhasrat untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos depan.

Albert turut menyatakan bahawa Anthony sepatutnya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut.

“Pada masa akan datang, buat semakan dahulu sebelum membuat tuduhan atau kenyataan. Alamat saya memang di Negeri Sembilan dan saya sendiri tidak pasti dari mana maklumat itu diperoleh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Albert turut mengingatkan Anthony supaya tidak berpindah ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain apabila pilihan raya berlangsung.

“Jangan lari ke tempat lain. Saya akan membawa sentimen politik yang berlaku di Sabah ke Negeri Sembilan kerana saya antara individu yang menyumbang kepada kekalahan DAP 8-0 dalam PRN Sabah tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Albert memaklumkan bahawa beliau berminat untuk menyertai sebuah parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti berkenaan.

“Saya masih baharu dalam dunia politik. Keputusan akhir terpulang kepada pucuk pimpinan, namun saya difahamkan mereka memberikan sokongan kepada saya,” ujarnya.

Beliau berkata, pengumuman rasmi mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam masa terdekat dan menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk bertanding di kerusi DUN Chennah.

Sebelum ini, Albert dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk bertanding dalam PRN Negeri Sembilan. Beliau juga menyatakan hasrat untuk bertanding di DUN Chennah yang kini disandang oleh Anthony Loke, namun belum mendedahkan parti yang bakal diwakilinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *