JKDM lumpuhkan sindiket dadah antarabangsa rampasan RM300.72 juta, air minuman diisi heroin

NILAI: Sindiket antarabangsa menyeludup dadah dengan menyembunyikan heroin dalam minuman jus berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi siri operasi besar-besaran yang membawa kepada rampasan dadah bernilai RM300.72 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Amran Ahmad berkata, sebanyak 4.83 tan pelbagai jenis dadah berjaya dirampas menerusi lima serbuan berasingan yang dijalankan sepanjang April hingga Jun tahun ini.

Menurut beliau, rampasan terbesar melibatkan 3,396.6 kilogram (kg) heroin bernilai RM169.83 juta yang dirampas pada 15 Jun lalu, selepas sindiket dikesan menggunakan taktik menyembunyikan cecair dadah tersebut dalam minuman berperisa yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia Barat sebelum dihantar ke Australia.

“Dalam operasi kira-kira pukul 12 tengah hari, sepasukan pegawai Cawangan Narkotik Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JKDM telah memeriksa sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 18,870 kotak minuman berperisa mangga, oren dan nanas yang mengandungi cecair disyaki heroin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Amran berkata, sindiket antarabangsa kini semakin licik dengan kerap menukar modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa. 

“Bagi kes berkenaan, dagangan terbabit diikrarkan sebagai pelbagai produk makanan dan barangan pengguna seperti biskut, sabun serta gel rambut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an yang dipercayai bertindak sebagai ejen perkapalan ditahan dalam serbuan kedua di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Mei lalu.

Katanya, pemeriksaan terhadap 41 kotak dagangan menemukan 269 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ‘cannabis bud’ seberat 161.39 kg yang dianggarkan bernilai RM12.91 juta.

“Kedua-dua suspek ditahan kerana dipercayai membuat ikrar palsu, apabila kotak dagangan tersebut diikrarkan sebagai makanan kering untuk dihantar ke Eropah,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan ketiga pada 13 Mei lalu, tiga lelaki warga asing dari Eropah dan Asia Tenggara ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur selepas pihak berkuasa menemukan kotak penghantaran mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 2.68 kg.

“Pemeriksaan lanjut di bilik hotel turut menemukan pelbagai jenis dadah seberat 3.43 kg serta 0.0086 kg bahan psikotropik, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM978,778.

“Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dipercayai telah menginap di hotel berkenaan sejak Februari lalu, selain beberapa peralatan memproses dadah turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *