SEREMBAN : Setiausaha DAP, Anthony Loke Siew Fook mengingatkan individu yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya menukar alamat kediaman dalam kad pengenalan sebelum bertanding.
Anthony yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei akan bertanding di kerusi DUN Chennah pada PRN pada 1 Ogos depan.
Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi, jadi sesiapa sahaja mempunyai hak untuk menawarkan diri sebagai calon tetapi perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan.
“Kita negara demokrasi. Siapa-siapa nak jadi calon, silakanlah. Itu hak masing-masing.
“Cuma saya nak ingatkan, tukar alamat dulu. Kalau bukan alamat di Negeri Sembilan, dia tak boleh bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen(B2) Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jelas Anthony, tumpuannya adalah untuk terus menjalankan tanggungjawab kepada pengundi di DUN Chennah dengan lebih baik kerana telah berkhidmat di situ selama tiga penggal dan tahu apa yang rakyat mahukan.
“Saya punya fokus ialah kepada kerja saya, kepada rakyat dan pengundi Chennah yang telah saya wakili selama tiga penggal. Jadi siapa-siapa nak bertanding, silakanlah,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiaan Cheing, 37, tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRN Negeri Sembilan.
Albert menyasarkan untuk bertanding di kerusi DUN Chennah yang kini disandang Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP, namun enggan mendedahkan parti yang menawarkan peluang tersebut.