Restoran dipercayai jalankan kegiatan tidak bermoral

SEREMBAN: Sebuah restoran di Jalan Tuanku Hassan, di sini, dikesan menjalankan kegiatan tidak bermoral ketika pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Rumah Urut dan Rumah Tumpangan, semalam.

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam satu kenyataan berkata, Datuk Bandar, Datuk Masri Baharuddin, mengetuai satu operasi itu bagi pematuhan syarat pelesenan serta undang-undang kecil.

Menurutnya, operasi yang bermula pada jam 2.30 petang itu turut disertai Setiausaha MBS, Mohd Kamal Mohd Yusof, Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Hanizam Ahmad, wakil Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan (JPPU), Unit Perhubungan Korporat MBS serta pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan.

“Dalam operasi tersebut, dua premis telah diperiksa. Pemeriksaan di sebuah spa di Pusat Perniagaan Rahang Jaya mendapati premis mempunyai lesen perniagaan yang sah.

“Namun satu kompaun telah dikeluarkan kerana melanggar syarat lesen iaitu gagal menyediakan sijil kelayakan tukang urut,” katanya.

Tambahnya, sementara itu, pemeriksaan di sebuah restoran Jalan Tuanku Hassan mendapati lesen premis telah tamat tempoh, namun pemilik telah mengemukakan permohonan pembaharuan lesen.

“Premis berkenaan turut disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral, dan hasil tindakan bersama Jabatan Imigresen Malaysia, seorang lelaki warga asing telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jelasnya, sepanjang operasi, sebanyak satu notis kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Melesen Tred.

“Tiada notis bertempoh mahupun tindakan sitaan dilaksanakan. Keseluruhan operasi berjalan dengan lancar dan keadaan adalah baik serta terkawal.

“Datuk Bandar menegaskan bahawa MBS akan terus mempergiatkan operasi bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi syarat pelesenan, undang-undang kecil serta peraturan yang berkuat kuasa demi menjamin keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman warga bandaraya Seremban,” katanya.

Gambar kredit MBS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *