SEREMBAN : Tular di media sosial satu video memaparkan seorang pengurus syarikat mengambil wang berjumlah ribuan ringgit daripada mesin ‘cash register’.
Malah, lelaki berkenaan didakwa turut menukar kod QR bayaran syarikat kepada kod QR peribadinya dan dalam masa sama memaklumkan pihak polis sehingga kini belum mengambil apa-apa tindakan.
Bagaimanapun, Polis Daerah Seremban menafikan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pengurus syarikat menjual komputer dan telefon susulan laporan yang dibuat terhadap lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, siasatan berhubung pengurus yang didakwa mengambil wang dari kaunter berjumlah ribuan ringgit itu kini sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan seterusnya.
“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban mengesan hantaran yang tular di sosial media mendakwa siasatan tidak diteruskan terhadap satu laporan salah laku yang dilakukan pengurus syarikat itu.
“Untuk makluman, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan kemudiannya dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan sudah menerima beberapa arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Yatim berkata, status terkini kertas siasatan masih dalam siasatan sementara mengambil tindakan seperti mana arahan timbalan pendakwa raya.
“Polis Daerah Seremban akan terus memberikan komitmen penuh dalam menangani isu jenayah komersial dan bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras sebarang perlakuan jenayah.
“Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah penipuan dan scammer boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah seremban di talian 06-6033222,” katanya.
Video/ gambar kredit pembaca