
KUALA PILAH : Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau Ke-22 di Istana Besar Seri Menanti pada Sabtu ini.
Perkara itu telah dimaklumkan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz pada satu majlis istiadat yang bermula pukul 3.30 petang tadi.
Terdahulu, dalam istiadat berkenaan, rombongan Dato’-Dato’ Adat Luak Rembau menjunjung duli menghadap dengan membawa tepak sireh sebelum baginda menzahirkan titah berkaitan proses pelantikan Undang Luak Rembau yang baharu.
Dalam titahnya, Tunku Ali berkata, pemilihan penyandang Pesaka Dato’ Undang Luak Rembau Ke-22 telah dilaksanakan mengikut adat yang terpakai dan diamalkan dalam Luak Rembau.
“Saya ingin sampaikan titah perkenan ayahanda saya Tuanku Muhriz yang berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli bagi menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau.
“Bagi urusan dan persiapan istiadat tersebut, Dato’-Dato’ bolehlah berbincang dengan Orang Empat Istana. Saya doakan segala urusan istiadat berjalan lancar,” titahnya.
Istiadat Kejadian Undang Luak Rembau yang akan berlangsung Sabtu ini merupakan kemuncak proses adat dalam pelantikan Undang Luak Rembau selaras dengan amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengerusi Istiadat Kerapatan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak, Dato’ Juan Datuk Zulkipli Shamsudin berkata, kerapatan Buapak dan Ibu Soko di Luak Rembau telah sebulat suara memilih seorang pesara guru, Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.
“Duli Yang Maha Mulia tidak memanggil, tidak memilih dan tidak melantik mana-mana pihak atas kehendak baginda sendiri sebarang kenyataan yang menggambarkan sebaliknya merupakan salah faham terhadap adat yang telah mengatur Negeri Sembilan sejak berkurun-kurun lamanya,” katanya ketika ditemui selepas istiadat berkenaan.
Jelasnya, mengikut Adat Perpatih juga, seorang Undang tidak dilantik oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya dipilih di dalam luaknya sendiri, menerusi proses adat yang telah ditetapkan.
Sebelum ini, pemilihan Undang Luak Rembau mula menjadi pertikaian selepas penyandangnya, Dato’ Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei 2024.
Pemilihan Undang di Negeri Sembilan dipilih daripada calon-calon daripada Suku Biduanda yang merupakan suku asal di negeri itu.
Terdapat 12 suku dalam sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan.