KUALA PILAH : Pemilihan seseorang Undang dalam Adat Perpatih tidak bermula daripada Istana sebaliknya ditentukan oleh badan-badan adat di dalam luaknya sendiri melalui proses yang telah ditetapkan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Istiadat Kerapatan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak, Dato’ Juan Datuk Zulkipli Shamsudin dalam satu majlis istiadat semalam.
Beliau berkata, kerapatan Buapak dan Ibu Soko di Luak Rembau telah sebulat suara memilih seorang pesara guru, Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.
“Duli Yang Maha Mulia tidak memanggil, tidak memilih dan tidak melantik mana-mana pihak atas kehendak baginda sendiri.
“Sebarang kenyataan yang menggambarkan sebaliknya merupakan salah faham terhadap adat yang telah mengatur Negeri Sembilan sejak berkurun-kurun lamanya.
“Proses tersebut melibatkan Lembaga, waris dan pada asasnya Ibu Soko yang mempunyai peranan dalam menentukan bakal Undang mengikut adat yang diwarisi turun-temurun,” katanya ketika ditemui selepas istiadat berkenaan.
Pada istiadat itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau Ke-22 di Istana Besar Seri Menanti pada Sabtu ini.
Titah perkenan baginda telah disampaikan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Sebelum ini, pemilihan Undang Luak Rembau mula menjadi pertikaian selepas penyandangnya, Dato’ Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, 83, meninggal dunia akibat sakit tua pada 15 Mei 2024.
Pemilihan Undang di Negeri Sembilan dipilih daripada calon-calon daripada Suku Biduanda yang merupakan suku asal di negeri itu.
Terdapat 12 suku dalam sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan.