REMBAU : Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut apabila dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz dipandu seorang guru dalam kejadian di kilometer satu, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Legong Ulu, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, mangsa yang merupakan murid tahun tiga di sekolah berhampiran mengalami kecederaan parah di kelapa dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Azmi berkata, kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika guru perempuan berusia 42 tahun itu sedang memandu Perodua Aruz seorang diri dari sebuah sekolah berhampiran ke PPRT tersebut.
“Guru itu kemudian telah terlanggar pejalan kaki iaitu mangsa seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun merupakan murid sekolah sama yang berada di jalan dalam kawasan perumahan.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa berada di kedudukan atas jalan sebelah kanan kawasan PPRT Legong Ulu, manakala kedudukan Perodua Aruz berada di hadapan kedudukan mangsa, namun tiada kesan pecahan serta komponen kenderaan di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Azmi, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.
“Guru itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
habis