1
1
NILAI : Tiga lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes sakun dan ragut di Tangkak, Johor
diberkas polis dalam satu operasi di kawasan parkir Dataran Nilai, Putra Point, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 22 hingga 28 tahun itu cuba melarikan diri hingga berlaku pergelutan sebelum ditahan polis.
Johari berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak bersama BSJD IPD Muar mengesan sebuah Honda Accord putih dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9.45 malam semalam.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu kenderaan itu cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan kecil ketika proses tangkapan dijalankan.
“Bagaimanapun, kesemua suspek berjaya ditahan dan tiada insiden tembakan berlaku sepanjang operasi dijalankan seperti mana tular di media sosial Threads,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Johari, hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terbabit dalam kejadian samun dan ragut di Pekan Sagil.
Tambah beliau, hasil penahanan suspek turut membawa kepada penemuan sebuah Perodua Myvi berwarna emas yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Polis turut merampas sebuah Honda Accord putih, beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama bersama kad sim serta dua batang kunci kenderaan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tanbah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun hingga mendatangkan kecederaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berhubung video tular operasi itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial Threads oleh pemilik mengenai kejadian tembak-menembak membabitkan polis dan penjenayah di Dataran Nilai sehingga menyebabkan cermin kereta suspek berlubang akibat ditembak.