Popular Posts

Curi 4X4 ketika pandu uji

TAMPIN: Dua lelaki yang kononnya mahu pandu uji sebuah kenderaan pacuan roda (4X4) ketika proses jual beli nekad melarikan kenderaan itu di Gemencheh, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, suspek dikatakan melarikan kenderaan itu selepas pemiliknya seorang lelaki berusia 42 tahun turun dari 4X4 itu sejurus selesai pandu uji.

“Kira-kira jam 8.45 malam 22 Mei lalu, pihak polis menerima satu laporan berkaitan kehilangan sebuah 4X4 jenis Ford Ranger ketika dipandu uji bagi proses jual beli di Gemencheh.

“Dalam kejadian ini, suspek dikatakan menghubungi pengadu dan menyatakan ingin bertemu untuk pandu uji kerana ingin membeli 4X4 yang diiklankan pengadu melalui Facebook.

“Suspek bersama rakannya dipercayai datang ke tempat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun untuk memandu uji kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amiruddien berkata, selepas selesai proses pandu uji, pengadu dikatakan ingin turun dari kenderaan itu sebelum suspek bertindak memecut dengan laju dan melarikan kenderaan terbabit.

“Butir-butir kenderaan yang dilarikan adalah jenis Ford Ranger 2.0L (Raptor) bernombor pendaftaran VEP 8787 dan berwarna hitam.

“Suspek dua lelaki yang menaiki kereta jenis Mini Cooper Cross berwarna gelap dengan nombor pendaftaran VLQ 1366. Hasil semakan mendapati nombor berkenaan adalah palsu,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
 
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini mohon tampil membantu siasatan dengan menghubungi Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin di talian hotline 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu tular di laman Thread, kenderaan yang dilarikan itu dirakam merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sehingga menyebabkan ia berpusing beberapa kali dan terbabas di bahu jalan.

Gambar kredit pemilik asal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *