Popular Posts

Sanggup samun guna parang kerana arak

NILAI: Seorang lelaki sanggup menyamun sebuah kedai runcit di Jalan Besar Mantin, di sini, pagi semalam, dengan menggunakan senjata tajam semata- mata untuk beli alkohol.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi itu, suspek dikatakan melakukan perbuatan itu kerana tidak mempunyai wang untuk beli minuman keras.

“Kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan lingkungan umur 50-an berhubung satu kejadian samun bersenjata di kedai runcitnya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 pagi yang sama yang mana seorang pekerja kedai dikatakan disamun seorang lelaki bersenjatakan parang.

“Suspek dipercayai melarikan wang tunai, syiling serta barangan minuman keras dengan anggaran kerugian awal sebanyak RM500,” katanya, hari ini.

Ujar beliau, suspek dipercayai menggunakan sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna biru untuk melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, kira-kira jam 10.30 malam tadi, sepasukan polis dari IPD Nilai berjaya menahan suspek.

“Lelaki tempatan lingkungan umur 30-an ini ditahan di tepi Lebuhraya Kajang- Seremban (LEKAS) berhampiran Kajang, Selangor.

“Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Proton Perdana, beberapa telefon bimbit, sebilah pedang, pakaian dipercayai digunakan ketika kejadian serta barangan berkaitan kes,” katanya.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah membabitkan kes samun serta dua rekod kesalahan dadah.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini bagi permohonan reman dan dibenarkan selama lima hari bermula hari ini hingga 28 April depan bagi tujuan melengkapkan siasatan,” katanya.

Ujarnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan awal juga mendapati suspek melakukan perbuatan itu untuk mendapatkan wang bagi membeli minuman keras kerana tidak mempunyai wang tunai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Video kredit polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *