SEREMBAN : Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan dua defendan dalam saman pemula oleh Datuk Mubarak Dohak bersama lima yang lain untuk mengemukakan bantahan rasmi berkaitan bidang kuasa mahkamah yang dikemukakan.
Perkara itu berhubung penggantungan pelaksanaan penguatkuasaan keputusan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) pada 17 April lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain mengarahkan demikian selepas mendengar bantahan awal dari peguam defendan pertama, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dan defenden kedua, DKU.
Berikutan itu, mahkamah meminta dua defendan tersebut memfailkan afidavit bagi menyokong bantahan tersebut dalam tempoh tujuh hari.
Peguam defendan pertama dan kedua, Steven Thiru dalam prosiding mahkamah membantah permohonan saman pemula berkenaan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa mahkamah seperti termaktub dalam Perkara 16 (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Merujuk Perkara 16(3), DKU merupakan badan tertinggi bertanggungjawab mengurus hal ehwal adat istiadat.
“Jadi, pihak defendan (pertama dan kedua) akan memfailkan afidavit sokongan kepada pihak mahkamah dalam masa tujuh hari dan akan didengar secara lisan pada 28 Julai depan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan, Ala’uddin Baharom yang mewakili defendan ketiga kerajaan Negeri Sembilan turut membantah permohonan plaintif berhubung Minit Mesyuarat DKU kerana defendan bukan bukan ahli DKU.
“Segala persiapan, penyediaan, penyimpanan dan pengeluaran minit mesyuarat bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.
“Saya percaya kuasa mahkamah perlu diputuskan terlebih dahulu kerana secara amnya minit dan keputusan adalah perkara berbeza, manakala bagi permohonan ketiga (penggantungan) defendan ketiga membantah sekerasnya dan memohon isu berkenaan didengar dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi hari ini tidak membenarkan apa-apa perintah pelaksanaan penggantungan yang dipohon oleh pihak plaintif yang bersangkutan dengan keputusan Mesyuarat Khas DKU bertarikh 17 April sehingga Minit Mesyuarat Sidang akhas tersebut dikemukakan dan diserahkan kepada plaintif.
Ini termasuk arahan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong secara serta-merta dan pemindahan pekerja balai dalam tempoh tidak sampai 24 jam.
Saman pemula itu difailkan oleh enam plaintif yang menuntut terdiri daripada Mubarak, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.
Turut dinamakan sebagai plaintif ialah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Para plaintif diwakili oleh tujuh peguam yang diketuai Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Awang Armadajaya pula berkata, mengenai permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mengosongkan balai dan perpindahan pada masa ini, hakim membuat keputusan bahawa tidak mencukupi keterangan di dalam afidavit untuk membenarkan penggantungan interim dilakukan.
“Bagaimanapun, hakim telah menjelaskan bahawa pihak-pihak plaintif tidak terhalang membuat permohonan rasmi mengenai penggantungan interim tersebut.
“Jadi, kita akan medapat arahan daripada plaintif (anak guam) sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Mengulas mengenai permohonan plaintif untuk mengekalkan status quo, Awang Armadaya berkata, buat masa ini perintah itu tidak diberikan tetapi pihak plaintif diberi kebebasan untuk membuat permohonan sewajarnya.
Terdahulu, Tokoh Budaya dan Adat Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim bersama pemimpin adat dilihat hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes tersebut.