KUALA PILAH: Sebanyak empat kes wabak disyaki leptospirosis atau kencing tikus dilaporkan berlaku dipercayai berpunca dari Pusat Rekreasi Air Ulu Bendul, di sini.
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berhubung mesej tular di media sosial berkaitan kejadian wabak itu.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Pilah melaporkan satu wabak disyaki leptospirosis di sebuah taman rekreasi di Kuala Pilah yang membabitkan empat kes.
“Kesemua kes mempunyai gejala demam, sakit kepala, dan sakit otot serta mempunyai sejarah mengunjungi dan menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, daripada jumlah itu, satu kes dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut, manakala tiga kes lain menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Jelasnya, sampel klinikal daripada kes itu sudah diambil untuk tujuan ujian pengesahan leptospirosis.
“Penilaian risiko yang dijalankan di kawasan taman rekreasi berkenaan mendapati terdapat persekitaran yang kondusif bagi penularan penyakit leptospirosis.
“Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, kawasan rekreasi itu ditutup oleh agensi berkaitan bermula 10 Mei lalu hingga 17 Mei bagi membolehkan kerja pembersihan dan penyelenggaraan dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, JKNNS menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mengunjungi kawasan rekreasi air terutama ketika musim hujan berikutan risiko jangkitan leptospirosis.
“Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah merata-rata dan mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan menggunakan air bersih dan sabun.
“Elakkan minum atau menggunakan air sungai serta air yang tidak dimasak, elakkan berenang atau bermain air sekiranya mempunyai luka, serta memastikan luka ditutup dengan pembalut kalis air.
“Selain itu, elakkan bermain air atau melalui kawasan lopak dan air bertakung terutama selepas banjir,” katanya.

Justeru katanya, jabatan ini akan terus memantau perkembangan semasa kejadian leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi berkaitan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan ketika mengunjungi pusat rekreasi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala selepas mengunjungi kawasan rekreasi,” katanya.
Gambar hiasan janaan Ai