1
1
SEREMBAN : Tindakan seorang lelaki menyembur cecair pemedih mata terhadap pasangan suami isteri di hadapan sebuah restoran di Seremban 2 di sini membawa padah selepas dia ditahan polis malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, suspek berusia 50 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di hadapan rumahnya di Seremban kira-kira pukul 11.45 malam.
Mohd Yatimin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wanita berusia 49 tahun yang mendakwa dia dan suaminya disembur cecair pemedih mata oleh lelaki tidak dikenali.
“Ketika kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, mangsa yang merupakan peniaga bersama suaminya menaiki Perodua Bezza sebelum menyedari sebuah Honda Accord berwarna perak mengekori mereka.
“Kenderaan suspek kemudian memotong dan menghalang laluan mangsa di hadapan sebuah restoran makanan laut sebelum lelaki terbabit keluar dan cuba memprovokasi pasangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek kemudian mengambil sesuatu dari bahagian belakang kenderaannya sebelum bertindak menyembur cecair pemedih mata ke arah kedua-dua mangsa.
“Pasangan suami isteri itu mengalami pedih dan kegatalan pada mata sebelum mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Ja’afar.
“Polis turut merampas sebotol semburan pemedih mata berwarna hitam buatan Amerika Syarikat yang tertera perkataan ‘Police’,” katanya.
Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah, namun ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya,” katanya.