Lelaki Rohinya antara tiga ditahan leka sedang seleweng LPG

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan melakukan serbuan di sebuah premis di Lukut, Port Dickson, petang semalam selepas disyaki melakukan kegiatan decanting gas petroleum cecair (LPG).

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, tiga lelaki membabitkan warga Indonesia, etnik Rohingya dan seorang lelaki warga tempatan ditahan.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam operasi penguatkuasaan di sebuah premis kawasan perindustrian kecil itu, pihaknya merampas 1,080 tong LPG dengan anggaran nilai sebanyak RM300,000.

“Kami berjaya menumpaskan sindiket yang disyaki menjalanlan aktiviti penyelewengan barang kawalan LPG melalui kegiatan decanting. Hasil pemantauan, pasukan penguat kuasa mendapati aktiviti pemindahan LPG sedang dijalankan di dalam premis berkenaan.

“Serbuan kemudiannya dilakukan dan dua lelaki masing-masing warga Indonesia berusia 20-an serta lelaki etnik Rohingya berusia 30-an ditahan. Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 20-an,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Zahir berkata, pemeriksaan turut menemukan sejumlah 1,080 tong LPG pelbagai kapasiti serta sebuah kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Tegas beliau, KPDN Negeri Sembilan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan, khususnya LPG.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan bekalan barang kawalan sentiasa mencukupi
dan dapat dinikmati pengguna pada harga serta saluran yang terkawal,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *