SEREMBAN: Seorang wanita ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bermain judi atas talian di tempat awam, awal bulan ini.
Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada tertuduh, G R Maria, 30, selepas dia membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah didapati berjudi di tempat awam menggunakan telefon bimbit yang mempunyai aplikasi pertaruhan judi online.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11.50 pagi di kaki lima hadapan sebuah premis di Jalan S2 G2, Seremban 2, di sini, pada 6 Ogos lalu.
Justeru itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka.
Jika disabitkan, hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nurnadiahani Mohd Ideris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang maksimum sebagai pengajaran dan pencegahan kepada tertuduh serta masyarakat.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Gejalaxmi memberitahu mahkamah, wanita itu seorang ibu tunggal dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.
Tambahnya, tertuduh menanggung ibu bapa dan seorang anak berusia enam tahun selain merayu hukuman berbentuk denda yang minimum memandangkan ini kesalahan kali pertama tertuduh.
Selain denda RM2,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal melunaskan bayaran denda.
Gambar hiasan janaan AI