Pengundian awal 5,455 anggota polis di Negeri Sembilan lancar

NILAI  : Proses pengundian awal membabitkan 5,455 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 hari ini berlangsung lancar dan terkawal.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seramai 22,339 pengundi awal terlibat pada PRN kali ini membabitkan 16,884 anggota tentera serta 5,455 pegawai dan anggota polis.

Menurutnya, setakat pukul 10 pagi, sebanyak 40.43 peratus daripada keseluruhan pengundi awal polis telah selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Bagi pengundi awal tentera dan pasangan pula, sebanyak 31.44 peratus telah keluar mengundi setakat pagi ini,” katanya ketika meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini, hari ini.

Alzafny berkata, hasil pemantauan di beberapa pusat pengundian awal termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Kem Tentera Rasah mendapati proses pengundian berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Alzafny berkata, polis akan terus meningkatkan pemantauan sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan proses demokrasi berjalan dalam keadaan aman, selamat dan terkawal.

“Kita sentiasa memantau supaya tiada sebarang pelanggaran undang-undang atau kejadian yang boleh menjejaskan kelancaran proses pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua parti politik, penyokong serta orang ramai supaya mematuhi undang-undang pilihan raya dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu keamanan serta ketenteraman awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *