SEREMBAN : Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merayu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan supaya memberikan peluang kepada Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun menegaskan, beliau tidak mengeluarkan arahan kepada mana-mana anggota keselamatan mengenai parti yang perlu dipilih, sebaliknya hanya memohon sokongan terhadap calon-calon BN yang bertanding.
“Saya tidak mengeluarkan sebarang arahan. Sebagai Pengerusi BN, saya hanya memohon supaya mereka yang mengundi awal memberikan peluang kepada calon-calon BN untuk memenangi kerusi-kerusi selepas menghadiri Majlis Himpunan Usahawan Bumiputera Negeri Sembilan 2026 di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri, kebajikan anggota ATM, PDRM serta keluarga mereka akan terus diberikan perhatian.
Beliau berkata, pengalaman kerajaan Persekutuan dalam mengurus kebajikan anggota keselamatan akan diterjemahkan di peringkat negeri bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
“Insya-Allah, kita akan lakukan yang terbaik untuk mereka dan keluarga mereka.
“Pengalaman di peringkat nasional akan kita turunkan di peringkat negeri dan Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik untuk tentera serta polis,” katanya.