PRNN9: Dakwaan Chegubard hanya tohmahan- polis

SERRMBAN: Polis menafikan dakwaan anggota mereka disogok dan diarah menyerahkan nombor siri kertas undi bagi menyokong parti tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad itu susulan dakwaan aktitivis politik Chegubard pada sidang media Perikatan Nasional (PN) semalam.

“Kita menafikan tohmahan tersebut. Namun sekiranya terdapat sebarang salah laku atau kemungkinan perkara itu berlaku, tindakan lanjut akan diambil.

“Selepas kenyataan itu dibuat oleh beliau, kita telah menjalankan pemantauan, namun sehingga kini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung isu yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Mengundi Awal di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai di sini hari ini.

Chegubard atau nama sebenar Badrul Hisham Shaharin pada sidang media semalam mendakwa mereka didatangi anggota polis yang mengadu diberikan wang antara RM300 hingga RM500 mengikut pangkat dan diugut supaya menyerahkan nombor siri kertas undi.

Alzafny berkata, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya pihak polis menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan itu.

“Jika laporan yang diterima membabitkan salah laku anggota polis seperti yang didakwa, pihak kita juga akan merujuk perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tapi itu adalah satu tohmahan dan perkara ini bukanlah satu perkara baharu kerana isu sama turut ditimbulkan dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *