Wanita buat laporan polis palsu konon diragut, elak kantoi guna wang majikan

SEREMBAN: Seorang wanita bertindak berani apabila membuat laporan polis palsu mengatakan dia diragut bagi mengelak daripada diambil tindakan selepas menggunakan wang majikannya, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, hasil siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati kejadian ragut terbabit tidak pernah berlaku.

“Kira-kira jam 5 petang semalam, Polis Daerah Nilai telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan terhadap seorang wanita warga tempatan yang berusia lingkungan 40-an.

“Wanita ini mengaku membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian ragut yang didakwa berlaku terhadapnya di Putra Point, di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, wanita berkenaan mengaku laporan itu dibuat bagi menyembunyikan penggunaan wang milik majikannya dan mengelakkan tindakan yang boleh dikenakan terhadap dirinya.

Beliau mengigatkan orang awam bahawa membuat laporan polis palsu adalah satu kesalahan jenayah.

“Perbuatan ini menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan sumber pasukan polis yang sepatutnya digunakan untuk menyiasat kes jenayah sebenar serta membantu mangsa yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 24 Jun 2026, Polis Daerah Nilai mengesan dan membuka sebanyak 10 kertas siasatan kes laporan polis palsu.

“Statistik ini menunjukkan masih terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan saluran laporan polis untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan implikasi undang-undang serta kesan kepada usaha pencegahan dan penyiasatan jenayah.

“Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar dan tepat kepada pihak berkuasa dan kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja membuat laporan palsu atau mengemukakan maklumat tidak benar.

“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti sistem pelaporan polis terus dipelihara dan dihormati,” katanya.

Gambar hiasan janaan AI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *