SEREMBAN : Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang berkaitan dengan institusi diraja Negeri Sembilan di akaun Facebook miliknya pada 26 Mei lalu.
Chegubard, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menerbitkan penerbitan menghasut seperti mana ayat ‘Berdasarkan undang-undang Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhun Tuanku Ja’afar sah merupakan Yang Dipertuan Besar Ke-12. Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah kini bekas Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan’ di aplikasi Facebook menerusi akaun Chegubard.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 8.30 malam di Jalan Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 26 Mei lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Sazali Omar menawarkan jaminan tidak kurang RM10,000 atas alasan hantaran yang dibuat oleh tertuduh melibatkan isu sensitif berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.
Pihak pendakwaan juga memohon kepada mahkamah supaya perintah larangan ‘gag order’ dikenakan terhadap Chegubard bagi melarang tertuduh daripada terus membuat apa-apa komen atau hantaran berkaitan dengan isu yang sedang berlaku melibatkan instutusi diraja Negeri Sembilan.
“Jadi, pihak pendakwaan berhujah agar mahkamah menggunakan budi bicara ‘gag order’ dikeluarkan sehingga kes selesai,” katanya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard pula memohon jumlah jaminan RM2,500 dengan mengambil kira jaminan bagi memastikan kehadiran tertertuduh bukan sebagai hukuman.
Muhammad Rafique berkata, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 jika bersalah, jika jaminan RM10,000 bermakna dua kali ganda lebih besar daripada hukuman.
Beliau perkata, pihak pembelaan juga menolak perintah ‘gag order’ dikenakan terhadap anak guamnya atas prinsip tidak menyekat kebebasan bersuasa.
“Sekiranya mahkamah memberi perintah ‘gag order’ hari ini seolah-olah mengesahkan pertuduhan terhadap tertuduh (Chegu Bard) telah berjaya dibuktikan tanpa perbicaraan.
“Selain itu, terdapat tiga kes hasutan melibatkan anak guam saya iaitu dua kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu kes di Mahkamah Sesyen Johor telah ditolak perintah ‘gag order’,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menolah permohonan syarat ‘gag order’ setakat ini, namun jika tertuduh didapati membuat lagi hantaran sama dan boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni maka pihak pendakwaan boleh memohon ‘gag order’ beserta afidavit berkaitan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 3 Ogos depan.