SEREMBAN: Bukan sahaja cuba melarikan diri daripada ditahan, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak agresif dengan cuba merempuh pegawai imigresen ketika Operasi Penguatkuasaan di daerah ini, semalam.
Dalam operasi di sebuah restoran itu, suspek yang berusia 40-an dan berasal dari Indonesia itu bagaimanapun dicekup pihak berkuasa.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Mohd Razip Yasin berkata, pihaknya menahan 31 PATI pada Operasi Penguatkuasaan yang dijalankan di 11 lokasi sekitar Tampin dan Seremban bermula pada jam 10 pagi sehingga jam 9 malam tadi.
“Dalam operasi ini seramai 84 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 31 PATI yang berumur antara 19 hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Jumlah yang ditahan adalah 26 lelaki dan lima wanita membabitkan 15 lelaki warga Indonesia, seorang wanita Indonesia, dua lelaki warga Nepal, lima lelaki warga Vietnam, empat wanita warga Vietnam dan empat lelaki warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jelas beliau, ketika operasi dijalankan di sebuah restoran yang tular di sosial media, seorang warga asing bertindak cuba melarikan diri dengan bersikap agresif serta cuba melanggar pegawai penguatkuasa menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire.
“Bagaimanapun, tindakan itu berjaya dipatahkan dan suspek berjaya ditahan pasukan operasi. Dalam usaha cubaan suspek melarikan diri, suspek turut mengalami kecederaan pada bahagian muka sebelum berjaya diberkas.
“Hasil risikan juga mendapati suspek sentiasa berada di dalam kenderaan untuk mengelak dari ditahan pihak penguatkuasa,” katanya.

Tambahnya, operasi ini dilaksanakan berdasarkan aduan dan maklumat orang awam kepada JIM Negeri Sembilan serta risikan selama seminggu.
Ujar beliau, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Justeru beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai agar tampil membuat laporan atau aduan bagi membantu usaha membanteras kebanjiran PATI di negara ini.
“Selain mengambil tindakan terhadap PATI, kami juga akan melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang didapati menggaji atau melindungi PATI, termasuk tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Foto kredit JIM Negeri Sembilan