SEREMBAN : Ibu bapa dan penjaga di Negeri Sembilan dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah esok sekiranya bimbang terhadap kesan jerebu kepada kesihatan mereka, meskipun semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beroperasi seperti biasa.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ibu bapa dan penjaga yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah perlu memaklumkan ketidakhadiran tersebut kepada pihak sekolah.
Menurut kenyataan itu, sebarang keputusan penutupan institusi pendidikan akibat jerebu tertakluk kepada ketetapan, kriteria dan garis panduan KPM berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta perkembangan semasa.
JPNS turut memaklumkan semua aktiviti di luar bilik darjah hendaklah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100, selaras dengan Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019.
Aktiviti berkenaan termasuk Pendidikan Jasmani, kokurikulum, sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka.
“Dalam pada itu, murid disarankan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko,” menurut kenyataan itu.
JPNS berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat rasmi sekiranya terdapat sebarang perubahan berkaitan pengoperasian institusi pendidikan.
Sehubungan itu, ibu bapa, penjaga dan seluruh warga pendidikan disaran mengikuti saluran rasmi JPNS bagi mendapatkan maklumat terkini.