NILAI : Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Stesen Komuter Labu selepas video kejadian berdurasi satu minit 36 saat tular di TikTok.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya mengesan video itu kira-kira pukul 3.45 petang semalam sebelum laporan polis dibuat pada pukul 4.26 petang.
Menurut Johari, dua individu tersebut dikenal pasti sebagai Muhammad Azhar Jasmin, 38, dan K. Ganesan, 51.
“Polis turut mengesan saksi, mendapatkan rakaman asal video, mengenal pasti perakam atau pemuat naik serta mendapatkan rakaman CCTV dan maklumat daripada pihak pengurusan stesen.
“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca pergaduhan, tindakan setiap individu serta sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai di talian 06-790 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran.