REMBAU: Ketika insan lain sedang menunaikan solat Jumaat, dua remaja dirakam melarikan dua motosikal milik jemaah di Masjid Kariah Kampung Rendah di sini, tengah hari semalam.
Difahamkan, kejadian itu hanya disedari mangsa kira-kira jam 2.15 petang ketika mahu pulang selepas mendapati motosikal masing-masing tiada di kawasan parkir masjid.
Daripada rakaman litar tertutup (CCTV) yang tersebar, dua lelaki dilihat melarikan dua motosikal sebelum keluar dari kawasan masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Ngiam Ooi Ming mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan empat remaja lelaki berusia 14 hingga 15 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau menerima dua laporan polis berkenaan kes kehilangan dua motosikal yang diletakkan di tempat letak motosikal di kawasan sebuah masjid di Rembau.
“Ekoran laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Rembau membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 379a Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ooi Ming berkata, berdasarkan hasil siasatan dan risikan yang dibuat, polis dari IPD Rembau berjaya menangkap empat remaja lelaki tempatan lingkungan umur 14 hingga 15 tahun dan turut merampas dua motosikal yang dilaporkan hilang dalam tempoh kurang 24 jam.
Video ihsan pembaca