KUALA PILAH: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung pergaduhan membabitkan tiga remaja perempuan di Dataran Melang di sini yang turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu lalu.
“Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dikatakan ke Dataran Melang bersama abangnya untuk bertemu dengan dua kenalan.
“Difahamkan pertemuan itu bagi berbincang berkaitan salah faham susulan penyebaran gambarnya di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu tular video daripada siaran langsung (live) di laman TikTok memaparkan tiga remaja perempuan bertengkar sebelum berlaku pergaduhan fizikal di Dataran Melang.

Muhamad Mustafah berkata, ketika pertemuan di dataran itu, berlaku pergelutan antara pengadu dengan dua individu berkenaan sehingga menyebabkannya cedera.
“Remaja itu kemudiannya pulang ke rumah bersama ahli keluarga dan susulan itu, dia bersama bapanya dikatakan ke kediaman salah seorang individu terbabit pada Khamis untuk berbincang sebelum membuat laporan polis.
“Polis memandang serius kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pergaduhan serta pihak-pihak yang terbabit,” katanya.
Tegas Mustafah, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususunya berkaitan identiti individu yang terbabit dalam kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-48429999 atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Sarjan Shamsuldalila Mohamad di talian 011-10129038 atau mana-mana balai polis berdekatan.
Video ihsan pemilik