SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan diberi tempoh 30 hari untuk memulangkan semula baki peruntukan bagi bulan Julai hingga September yang mereka terima biarpun Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan 5 Jun lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, notis tuntutan tersebut sudah diberikan kepada semua wakil rakyat terlibat pada semalam.
“Amaun yang perlu dipulangkan tidak sama antara satu (ADUN PH Negeri Sembilan) dengan yang lain.
“Hanya mantan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) yang sudah memulangkan keseluruhan (peruntukan),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ismail telah mengarahkan 17 ADUN PH dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan terdahulu memulangkan semula peruntukan diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.
Beliau berkata, tujuh wakil rakyat bertaraf Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, 10 ADUN biasa (RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September) dan dua penyelaras DUN (RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September.
Dalam pada itu, Ismail mengakui Ketua Pembangkang, J. Arul Kumar telah mengadakan pertemuan dengannya berhubung isu pemulangan peruntukan yang dituntut kerajaan negeri tersebut.
Beliau berkata, dalam pertemuan tersebut, Arul memohon pertimbangan tentang pembayaran balik peruntukan terbabit.