SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan selepas disyaki menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita warga emas di Kampung Baru Mambau, di sini, 31 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa yang berusia 75 tahun sedang menyiram tanaman di hadapan rumahnya.
“Berdasarkan laporan polis, suspek yang datang menaiki sebuah motosikal dikatakan meminta sayur daripada mangsa.
“Selepas menerima sayur, suspek dipercayai membuka seluarnya dan menunjukkan kemaluan kepada mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya.
Tambah beliau, susulan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seremban menjalankan siasatan dan berjaya menahan seorang lelaki di kawasan Mambau, kira-kira jam 10.10 pagi tadi.
“Polis turut menjalankan siasatan terhadap dua laporan lain disekitar Mambau dengan modus operandi yang sama yang mana mangsa adalah wanita warga emas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek,” katanya.
Gambar hiasan janaan AI