SEREMBAN : Kerajaan Negeri Sembilan memberi bayangan bakal mewujudkan jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) buat pertama kali bagi memperkukuh pentadbiran negeri.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, cadangan itu sedang dipertimbangkan susulan kerajaan mempunyai ramai wakil rakyat dan tidak semua dapat disenaraikan sebagai EXCO.
“Mungkin kita akan wujudkan Timbalan EXCO dalam beberapa portfolio penting kerana kali ini kita mempunyai ramai wakil dan mungkin tidak semua dapat ditempatkan dalam barisan EXCO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memulakan tugas di Wisma Negeri di sininhari ini.
Menurut Ismail, cadangan berkenaan bagaimanapun masih di peringkat pertimbangan dan belum diputuskan secara muktamad, termasuk sama ada akan diwujudkan jawatan EXCO Kanan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bayangan barisan EXCO baharu sudah ada dan dijangka diumumkan seawal Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin.
“Bayangan sudah ada. Paling cepat hari Jumaat, paling lewat hari Isnin, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata, senarai berkenaan bagaimanapun masih perlu diperhalusi bersama kepimpinan parti sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan.
Menurutnya, pembentukan barisan EXCO mengambil kira keseimbangan antara parti komponen, wakil daerah serta penyertaan wanita.
“Saya sedang menyusun barisan EXCO yang terdiri daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN), Pas dan juga Parti Gerakan Wawasan Negara (Wawasan),” katanya.
Terdahulu, Ismail menjelaskan beliau tidak bercadang menambah jumlah EXCO, sebaliknya mengekalkan 10 portfolio sedia ada yang disifatkan paling sesuai bagi mengurus pentadbiran negeri.