SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) langkah kiri dalam percubaan pertamanya bertanding menggunakan logo sendiri apabila tewas teruk dalam kesemua 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelmarin.
Tidak cukup dengan itu 23 daripada 24 calon parti itu turut hilang wang pertaruhan termasuk Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang bertanding di DUN Sikamat.
Satu-satunya calon Bersatu yang terselamat ialah R. Sanjeevan yang di DUN Jeram Padang.
Pemangku ketua sayap bersekutu parti tersebut memperolehi 19 peratus undi sekali gus melepasi prasyarat iaitu satu per lapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira.
Prestasi Bersatu bertanding solo sangat merundum sehingga kehilangan DUN Labu dan Gemas yang dimenangi sewaktu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan 2023.
Sebelum ini, kepimpinan Bersatu termasuk Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis partinya mempunyai kekuatan dan berimpian menjadi ‘king maker’ di PRN Negeri Sembilan.