Momentum kempen BN positif, mampu menang besar di Negeri Sembilan – Ismail Sabri

SEREMBAN : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 berdasarkan momentum kempen yang disifatkan semakin positif.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, suasana kempen yang dilihat sepanjang turun padang jauh lebih memberangsangkan berbanding sebelum ini, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) mampu meraih sokongan pengundi.

“Apa yang saya lihat dan dengar di lapangan amat menggalakkan. Dengan kerja kuat seperti yang kita lihat hari ini, insya-Allah kita akan menang. Bukan setakat Mohd Asna di Lenggeng, malah di seluruh Negeri Sembilan.

“Saya percaya kita akan memperoleh lebih banyak kerusi. Lebih-lebih lagi apabila Pas bersama kita. Jika kerjasama ini kekal sehingga pilihan raya, insya-Allah kita akan menang besar. Kita doakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program sembang santai bersama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin di Kampung Gayan, Pantai, di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, semangat kerjasama yang ditunjukkan pemimpin dan jentera parti sepanjang kempen memberi petanda positif dalam usaha menarik sokongan rakyat.

“Hari ini saya juga berpeluang bersama beberapa pemimpin yang hadir dalam program kempen.

“Saya berharap semangat kebersamaan dan kerjasama ini dapat diteruskan sehingga hari pengundian,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan kini adalah memastikan jentera BN terus bekerja keras, mendekati seramai mungkin pengundi dan mengekalkan momentum kempen sehingga hari mengundi.

“Insya-Allah, jika usaha ini diteruskan secara konsisten, kita berharap dapat mencapai keputusan yang baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *