SEREMBAN : Kekuatan jenama individu tidak lagi mencukupi untuk mempertahankan sesebuah gabungan politik apabila berdepan perubahan sentimen pengundi secara menyeluruh.
Itulah mesej paling jelas dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 apabila Pakatan Harapan (PH) kehilangan pentadbiran negeri selepas dua penggal, meskipun dibarisi dua tokoh utama, Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan sebelum ini menerajui pentadbiran Negeri Sembilan sejak 2018, malah menjadi antara wajah utama PKR di peringkat nasional, manakala Anthony Loke pula merupakan Setiausaha Agung DAP dan antara pemimpin kanan Kerajaan Persekutuan.
Namun, pengaruh kedua-dua pemimpin itu gagal menghalang perubahan sentimen pengundi yang akhirnya memberikan kemenangan besar kepada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu sekali gus memberi gambaran bahawa dalam landskap politik semasa, pengundi semakin cenderung membuat pilihan berdasarkan sentimen terhadap gabungan parti, isu semasa dan tawaran masa depan, berbanding hanya bergantung kepada populariti seseorang pemimpin.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, keputusan di Negeri Sembilan menunjukkan pengaruh tokoh politik tidak lagi menjadi faktor dominan apabila berlaku perubahan sentimen yang lebih besar dalam kalangan pengundi.
Menurut Awang Azman, walaupun Aminuddin dan Anthony Loke mempunyai rekod kepimpinan serta pengaruh tersendiri, pengundi akhirnya membuat keputusan berdasarkan persepsi terhadap gabungan parti, isu semasa dan hala tuju politik yang ditawarkan.
“Apabila berlaku perubahan sentimen secara menyeluruh, faktor individu menjadi semakin kecil. Pengundi melihat kepada gabungan yang bertanding, naratif yang dibawa serta keyakinan terhadap hala tuju kerajaan yang ingin dibentuk,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama BN-PN turut menjadi faktor penting apabila berjaya mengurangkan perpecahan undi dalam kalangan penyokong mereka, sekali gus mewujudkan pertandingan satu lawan satu yang lebih memberi kelebihan kepada gabungan tersebut.
Jelas beliau,kemenangan itu juga dilihat meneruskan momentum selepas BN mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, sekali gus meningkatkan keyakinan penyokong serta memperkukuhkan kedudukan BN-PN dalam percaturan politik negara.
Persoalan sama ada gelombang kemenangan itu mampu diteruskan ke Melaka, Awang Azman berkata, Melaka dilihat mempunyai beberapa persamaan dengan Negeri Sembilan, termasuk kekuatan tradisi UMNO, komposisi pengundi Melayu yang signifikan di kawasan luar bandar dan separa bandar serta jentera akar umbi BN yang masih tersusun.
“Sekiranya formula kerjasama BN-PN diteruskan dengan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, model kemenangan di Negeri Sembilan berpotensi diulangi di negeri berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, kemenangan BN-PN bukanlah sesuatu yang berlaku secara automatik sebaliknya faktor pemilihan calon, prestasi kerajaan negeri, pembahagian kerusi serta penerimaan akar umbi terhadap kerjasama politik masih menjadi penentu utama keputusan pilihan raya.
Mengulas prospek Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Awang Azman berkata, keputusan Negeri Sembilan memberikan BN-PN satu formula yang boleh dipertimbangkan untuk diperluaskan di negeri-negeri lain sekiranya kerjasama itu terus mendapat penerimaan rakyat.
Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, Anthony yang bertanding di DUN Chennah gagal mempertahankan kerusi itu apabila memperoleh 5,038 undi tewas kepada calon BN, Siow Kong Choon 5,726 undi, majoriti 688 undi.
Manakala di DUN Linggi, Aminuddin yang membuat penampilan sulung di kerusi itu memperoleh 6,163 undi tewas kepada calon penyandang BN, Datuk Mohd. Faizal Ramli dengan 9,139 undi diikuti calon Bersatu Datuk Zamri Md. Said sebanyak 391 undi, keseluruhan majoriti 2,976 undi.