Seremban: Seramai 103 individu sah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri, Negeri Sembilan selepas proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertembungan lima penjuru di DUN Sri Tanjung dan Nilai.
“Secara keseluruhannya, bilangan pertandingan mengikut penjuru adalah 11 kerusi satu lawan satu, tiga penjuru di 21 kerusi, empat dan lima penjuru masing-masing di dua kerusi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Berdasarkan informasi SPR, penyandang DUN Nilai, J Arul Kumar (PH-DAP) bakal bertanding di kerusi itu dengan pesaingnya, Zamani Ibrahim (BERJASA), Alan Lai (BN-MCA), V Sarana Kumar (BERSATU) dan seorang calon bebas, Omar Mohd Isa.
Di DUN Sri Tanjung, A Achutan (BN-MIC), Datuk Dr G Rajasekaran (PH-PKR), M Leevineshwaraan (BERSATU), dan calon bebas iaitu Datuk V Saravanan serta Islah Wahyudi Zainuddin bakal berebut kerusi itu.

Ramlan berkata, selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada
jam 10 pagi, seramai 103 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.
“SPR menerima dan mengesahkan sebanyak 103 Kertas Penamaan yang layak bertanding bagi PRN Negeri Sembilan membabitkan PH (36), BN (25), BERSATU (24), PN (11), calon bebas (4).
“BERJASA, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), dan Parti Sosialis Malaysi (PSM) masing- masing seorang calon,” katanya.
Jelas beliau, calon paling muda adalah Leevineshwaraan, 23 dan calon tertua adalah Abd Latif Tambi (PH), berusia 70 tahun (PH) yang bertanding di DUN Gemencheh.