PORT DICKSON : Walaupun sering dilabel sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), calon parti itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli tidak mahu mengambil mudah cabaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kali ini.

Menurutnya, kehadiran bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi berkenaan menjadikan persaingan kali ini lebih mencabar dan berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini.
Mohd. Faizal yang juga penyandang kerusi DUN Linggi berkata, seluruh jentera BN akan digerakkan bagi memastikan kerusi berkenaan terus dipertahankan.
“Walaupun sering dikhabarkan dan digambarkan Linggi sebagai kubu kuat BN, ia bukanlah sesuatu yang mudah.
“Saya tidak akan mengambil perkara itu sebagai satu kelebihan, sebaliknya setiap ruang berkempen akan digunakan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Port Dickson di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap tempoh berkempen selama dua minggu berlangsung dalam suasana harmoni tanpa provokasi melampau atau tuduhan tidak berasas.
Katanya, masyarakat di Linggi terdiri daripada komuniti yang hidup bercampur gaul dan mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain.
“Kalau kita melampau dalam berkempen, saya bimbang akan timbul perasaan benci, marah dan sebagainya.
“Selepas PRN, saya tidak mahu berlaku perpecahan kerana kita akan bertemu semula, termasuk dalam majlis kenduri-kendara,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Mohd. Faizal mengekalkan penguasaan BN di DUN Linggi selepas memperoleh 7,832 undi dengan majoriti 1,461 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zambri Mat Said.
Sebelum itu, beliau pernah menjadi ADUN Bagan Pinang selama satu penggal selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dengan memperoleh 5,967 undi, menewaskan calon Pas, Hassan Alias yang mendapat 1,556 undi.