(PRN) NEGERI SEMBILAN: DAP akan umum calon dalam masa terdekat

SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan memberi bayangan akan mengekalkan lebih daripada separuh penyandang di kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu sedang melaksanakan proses pemilihan sebelum dimuktamadkan dalam masa beberapa hari lagi.

“Calon-calon akan ditampilkan dan diumumkan lebih awal bagi memberi ruang serta masa yang mencukupi terutamanya kepada calon baharu menyesuaikan diri di kawasan yang bakal ditandingi serta memperkenalkan diri mereka kepada para pengundi,” katanya.

Terdahulu beliau hadir Majlis Perasmian Skrin Elektronik di Dataran Lobak di sini hari ini.

Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, walaupun terdapat beberapa pertukaran calon, proses tersebut dijangka berjalan lancar kerana parti itu telah membudayakan semangat sokongan antara penyandang dan calon baharu.

“Penyandang yang tidak dicalon perlu juga terus membantu calon pilihan demi memastikan kesinambungan perjuangan parti.

“Saya yakin rakyat tahu menilai berdasarkan prestasi dan rekod perkhidmatan wakil rakyat mereka di kawasan masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai calon di PRN Johor, Anthony berkata, senarai penuh calon masih belum diserahkan kepadanya selaku Setiausaha Agung.

“Jadi belum mengetahui jumlah calon penyandang dan calon baharu yang bakal diketengahkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *