Berlumba buat aksi ‘wheelie’, ‘superman’ boleh dipenjara hingga 5 tahun

NILAI : Sekumpulan anak muda dilihat seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan diri apabila bertindak melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Nilai menghala ke Kuala Lumpur. 

Lensa @nogoripost sempat merakam video yang memaparkan penunggang motosikal terbabit sedang melakukan aksi ‘wheelie’ dan posisi meniarap atau ‘superman’ pada kelajuan tinggi.

Aksi berbahaya itu sekali gus mengundang kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain. 

Tindakan berisiko itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah boleh mengakibatkan kemalangan serius melibatkan pengguna lebuh raya yang lain.

Baru-baru ini, Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun terhadap individu yang disabitkan kesalahan terlibat dalam perlumbaan haram atau menduga kelajuan di jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, di bawah pindaan itu, peruntukan baharu Seksyen 42A menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan sebagai satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, bagi kesalahan pertama, individu yang didapati berlumba atau mengambil bahagian dalam menduga kelajuan di jalan raya boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman yang lebih berat diperuntukkan, iaitu denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *