
PORT DICKSON – Festival Rentak Negeri 2026 dilihat dapat memperkukuhkan identiti budaya serta keseniaan dan tradisi masyarakat Negeri Sembilan.
Penganjuran festival yang berlangsung pada 26 hingga 28 Jun itu juga menjadi platform pemerkasaan ekonomi tempatan melalui penyertaan 162 usahawan serta langkah strategik mempromosikan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bertemakan ‘Lantai Adat, Laman Budayo’, festival itu berjaya mengetengahkan kepelbagaian keunikan seni budaya dan warisan tempatan Negeri Sembilan yang berteraskan Adat Perpatih.
“Jika kita mahu orang luar menghargai budaya Negeri Sembilan, maka rakyat tempatan sendiri perlu menjadi duta budaya yang pertama.
“Kerajaan Negeri mahu melihat lebih ramai golongan muda mempelajari seni tradisional, memahami adat warisan serta berbangga mengangkat identiti Negeri Sembilan,” katanya ketika merasmikan Festival Rentak Negeri 2026 di Pantai Batu 1, di sini baru-baru ini.
Keunikan utama yang ditonjolkan pada festival tersebut adalah persembahan Tarian Piring Lambung Mega yang menggabungkan elemen tradisional dan kreasi gerak tari yang dipersembahkan oleh 100 penari yang terdiri dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Negeri Sembilan.
Malah, Festival Rentak Negeri kali ini juga mengangkat keunikan adat budaya Negeri Sembilan melalui dua pertandingan utama iaitu pertandingan mereka, menghias rumah tradisional Negeri Sembilan dan pertandingan menghias tandu pengantin yang julung kali dilaksanakan.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan telah memperuntukkan sebanyak RM148,000 bagi penyediaan Mini Pavilion Tahun Melawat Negeri Sembilan yang menghimpunkan pelbagai pemain industri pelancongan.
