
SEREMBAN : Peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh Negeri Sembilan kempunan untuk menyertai acara tahunan, RXZ Members 8.0 di Terengganu pada tahun ini.
Tarikh acara perhimpunan motosikal terbesar negara itu dikekalkan pada 31 Julai dan 1 Ogos depan biarpun bertembung dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Penganjur RXZ Members, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, keputusan itu berat dilakukan dan setelah mengambil mengambil kira banyak pertimbangan.
“Kami mendengar setiap pandangan diberikan dan benar-benar memahami perasaan tersebut.
“Namun, setelah melalui perbincangan yang panjang dan meneliti semua pilihan yang ada, kami terpaksa mengekalkan tarikh RXZ Members 8.0 pada 31 Julai dan 1 Ogos depan,” katanya menerusi akaun media sosial rasmi RXZ Members – Official pada malam tadi.
Mohamad Faizal berkata, ketiadaan penyokong RXZ Members dari Negeri Sembilan tersebut kelak demi menunaikan tanggungjawab terhadap negara sebagai pengundi amat dihormati.
Beliau berkata, biarpun tidak dapat hadir, mereka tetap sebahagian daripada keluarga besar RXZ Members.
“Tiada siapa yang akan dilupakan. Insya-Allah kita akan bertemu lagi pada perhimpunan yang akan datang,” katanya.