oznorTO
PORT DICKSON: Seramai 124 orang Kadet Pegawai Imigresen berjaya menamatkan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2026 selepas menjalani latihan intensif di Akademi Imigresen Malaysia.

Majlis Perbarisan Tamat Latihan tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, diiringi Ketua Pengarah Imigresen, Dato’ Zakaria Shaaban.

Kesemua kadet telah melaporkan diri pada 23 Februari 2026 dan menamatkan latihan secara rasmi pada 19 Jun 2026 dan seramai 37 orang merupakan Penolong Penguasa Imigresen Gred KP5 manakala 87 orang lagi adalah Pegawai Imigresen Gred KP1.

Pada majlis tersebut, beberapa anugerah khas turut disampaikan bagi penghargaan kepada kadet yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh latihan. Anugerah yang dipertandingan merangkumi Anugerah Keseluruhan Terbaik, Anugerah Akademik Terbaik, Anugerah Sahsiah Terbaik, Anugerah Kawad Kaki Terbaik Lelaki dan Wanita, Anugerah Kombat Tanpa Senjata Terbaik Lelaki dan Wanita serta Anugerah Jantung Emas Lelaki dan Wanita.


Jabatan Imigresen Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2026 dan berharap mereka dapat menggalas amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi, profesional serta menjunjung tinggi nila integriti dalam setiap aspek perkhidmatan.
Sepanjang tempoh latihan, para kadet mengikut pelbagai modul yang dirangka bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran serta kompetensi yang diperlukan dalam melaksana tugas sebagai pegawai imigresen. Antara modul ialah Undang-undang Imigresen, Kawalan Imigresen, Integriti, Pengecaman Dokumen, Menembak, Latihan Dalam Kumpulan, Program Transformasi Minda, Service Excellence, Kawad Kaki serta Pasukan Kawalan Khas.

Dalam ucapannya, Ketua Setiausaha KDN menegaskan bahawa nilai taat setia, amanah dan integriti menjadi pegangan utama seria pegawai imigresen dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara dan turut mengigatkan bahawa Jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku atau pelanggaran integriti, selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memperkukuhkan tadbir urus, profesionalisme dan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara.

