SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menerima dua laporan berkaitan penggunaan gelaran Institusi Undang ke atas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam satu majlis, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya juga sudah memanggil dua individu dipanggil untuk diambil keterangan lanjut bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Hasil semakan yang dibuat, kami mendapati setakat ini hanya ada dua laporan polis dibuat di Negeri Sembilan mengenai isu penggunaan jawatan ‘Tok Undang’ dalam satu majlis baru-baru ini.
“Kedua-dua pengadu sudah diambil keterangan lanjut manakala lain- lain individu akan menyusul berdasarkan keperluan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alzafny berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini media melaporkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah memohon maaf kepada Undang Yang Empat susulan tindakannya memetik gelaran Institusi Undang ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Ahmad Shahir dilaporkan berkata, sebagai anak Negeri Sembilan yang menjunjung tinggi adat, budaya dan Institusi Undang, beliau memandang serius penggunaan gelaran “Dato’ Undang” kerana ia membabitkan sensitiviti Institusi Adat Perpatih yang sewajarnya dihormati semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Menurut Ahmad Shahir, dia berseloroh dengan Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dengan memetik gelaran yang diberi dalam media sosial kepada beliau sebagai ‘Tok Undang’.