SEREMBAN: Tindakan sekumpulan geng curi kabel yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis membongkar rahsia kegiatan mereka melakukan curi kabel di daerah ini.
Dalam video yang dirakam orang awam, sekurang- kurangnya lapan kenderaan polis mengejar dan mengepung sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki berhampiran Masjid Jamek Seremban, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan polis kira-kira jam 10.45 pagi berkaitan kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati kereta peronda polis (MPV) IPD Seremban mengejar sebuah kereta Proton Waja yang melarikan diri daripada pemeriksaan pihak polis di sekitar kawasan Jalan Tun Dr Ismail, dekat Bandar Seremban, di sini.
“Dalam kejadian ini, kenderaan yang dinaiki suspek ini berjaya dihalang dan pihak polis menahan dua lelaki manakala seorang rakannya berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Yatim berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menjumpai sebanyak 14 alatan untuk mencuri kabel serta senjata berjadual.
“Selain itu pihak polis turut menjumpai dua paket plastik lutsinar disyaki dadah.
“Hasil soal siasat dijalankan ke atas tangkapan mengakui mereka bersama rakannya yang masih bebas melakukan kegiatan curi kabel di sekitar kawasan Seremban,” katanya.
Jelasnya lagi, semakan rekod jenayah ke atas kedua-dua tangkapan mendapati masing-masing mempunyai tujuh dan 10 rekod atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
“Semakan ke atas kereta Proton Waja mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita dan ia digunakan suspek yang melarikan diri,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual.
“Tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
“Masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Amram Ismail di talian 019-9661346 atau bilik gerakan IPD Seremban di talian 06-6033222,” katanya.
Video kredit pembaca