SEREMBAN : Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia memberikan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap kanak-kanak migran dan pelarian, termasuk daripada komuniti Rohingya, menerusi pelaksanaan inisiatif Baitul Mahabbah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Baitul Mahabbah diwujudkan sebagai langkah interim bagi menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
Menurut beliau, dakwaan kononnya kanak-kanak terbabit dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar kerajaan dalam menangani isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan serta selaras dengan keperluan keselamatan negara.
“Kerajaan berusaha memastikan kanak-kanak ini tidak terus ditempatkan dalam persekitaran tahanan biasa. Pada masa sama, mereka dilindungi daripada risiko eksploitasi, penyeludupan migran, pemerdagangan manusia dan pengabaian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Citra Negara MDN: Sekolah Selamat Daerah Seremban di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, Baitul Mahabbah merupakan inisiatif peralihan sementara kerajaan, sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperhalusi kerangka alternatif kepada penahanan kanak-kanak.
Beliau menjelaskan, kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah menerima perhatian dari segi keperluan asas, keselamatan dan kesihatan. Selain itu, mereka turut mengikuti aktiviti pendidikan tidak formal, bimbingan asas serta mempunyai akses kepada ruang riadah yang bersesuaian dengan umur dan keadaan masing-masing.
“Inisiatif ini membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dijalankan,” katanya.
Sehingga 28 Februari 2026, enam buah Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak. Daripada jumlah itu, tujuh orang dikenal pasti sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau yang terpisah daripada keluarga.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan yang disifatkan tidak berasas oleh aktivis antarabangsa berhubung isu penahanan serta ketiadaan akses pendidikan bagi etnik Rohingya di negara ini.
Pada masa sama, Saifuddin menegaskan bahawa KDN bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan aspek kebajikan dan perlindungan kanak-kanak berkenaan terus diberi perhatian.