
SEREMBAN : Tiga kenderaan termasuk Toyota Corolla Cross, Perodua Alza dan Proton Saga rosak teruk selepas dirempuh oleh sebuah lori jenis Hino dipandu seorang lelaki yang didapati positif dadah di hadapan Klinik Kesihatan Seremban 2, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang berada di lorong kanan hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan yang diparkir di klinik kesihatan tersebut.
“Pemandu berusia lingkungan 40-an itu dipercayai gagal mengawal lori tersebut sebelum terbabas dan merempuh tiga kenderaan iaitu Toyota Corolla Cross, Perodua Alza dan Proton Saga.
“Akibat kemalangan itu, semua empat kenderaan mengalami kerosakan.
“Pemandu lori dan pemandu Proton Saga turut mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Seremban 2,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Mohd Yatim, pemandu lori yang didapati positif dadah telah ditahan direman dan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nur Nabihah Nadhirah Rokhaime di talian 06-6033222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Foto : Ihsan Orang Awam