1
1
SEREMBAN : Seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ sindiket pengedaran dadah antarabangsa berjaya meloloskan diri ke dalam belukar di sebuah ladang kelapa sawit di Pengkalan Kempas, Linggi selepas kenderaan dipandunya terbabas ketika dikejar polis awal pagi semalam.
Bagaimanapun, suspek berusia 42 tahun itu terpaksa meninggalkan 12 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 14.4 kilogram (kg) bernilai RM744,000 yang disorok di dalam kereta Perodua Myvi dipandunya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek dikesan polis kira-kira pukul 4 pagi di kawasan Tanjung Agas, Port Dickson sebelum cuba melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar sejauh hampir enam kilometer.
“Suspek bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas kenderaan dipandunya terbabas di kawasan ladang kelapa sawit dan ditinggalkan di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 12 bungkusan syabu seberat 14.4kg bernilai RM744,000 serta 100 kartrij cecair vape disyaki mengandungi ketamin bernilai RM100,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, hari ini.
Menurut beliau, maklumat mengenai suspek diperoleh susulan penahanan dua lelaki warga Indonesia berusia 30 dan 34 tahun dalam sebuah bot pancung di perairan Kampung Kuala Lukut, Port Dickson kira-kira sejam sebelum itu.
“Dalam serbuan pada pukul 3 pagi tersebut, polis merampas 10 bungkusan syabu seberat 12kg bernilai kira-kira RM600,000 serta sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan dadah.
“Siasatan awal mendapati lelaki tempatan yang masih diburu itu berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa bekalan dadah dari Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada dua suspek warga Indonesia yang bertindak sebagai penerima untuk pasaran negara jiran,” katanya.
Alzafny berkata, kedua-dua suspek warga Indonesia itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan penyeludupan dadah sejak awal tahun ini dan telah beberapa kali membawa masuk bekalan ke negara mereka sebelum kegiatan itu berjaya dipatahkan polis.
“Hasil siasatan mendapati sindiket menggunakan laluan laut untuk menghantar bekalan dadah ke Indonesia dan lokasi pendaratan sentiasa berubah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dalam operasi tersebut membabitkan 26.4kg syabu bernilai RM1.44 juta yang dianggarkan mampu menampung keperluan kira-kira 132,000 penagih.
Tambahnya, dua suspek warga Indonesia yang turut didapati positif dadah jenis syabu direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Katanya, usaha mengesan suspek yang masih bebas serta mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat sedang giat dijalankan.