1
1
SEREMBAN: Bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia ketika sedang tidur di dalam buaian di rumah pengasuh Bandar Sri Sendayan, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pengasuh menyedari bayi berkenaan tidak sedarkan diri ketika mahu memandikannya kira-kira jam 5.40 petang.
“Pihak kami menerima laporan kejadian itu jam 10 malam tadi menyatakan seorang wanita berusia 30 tahun menerima panggilan daripada pengasuh anak lelakinya memaklumkan bayi berusia tujuh bulan itu tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudiannya dikatakan dibawa ke klinik swasta berhampiran di Bandar Sri Sendayan dan seterusnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, menaiki ambulans,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, doktor yang bertugas dilaporkan berusaha melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum bayi itu disahkan sudah meninggal dunia.
“Hasil siasatan mendapati si mati dijaga pengasuh yang berusia 38 tahun itu sejak Disember 2025.
“Ketika kejadian pengasuh dipercayai menidurkan bayi itu di dalam buaian dengan mulut diberikan puting jenis silikon,” katanya.
Jelas Azhar, mayat bayi itu sudah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Manakala pengasuh dalam kejadian ini ditahan untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Justeru beliau berkata, orang awam disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga boleh mengganggu siasatan pihak polis.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana yang terbabit dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.