1
1
KUALA PILAH: Sebuah kereta yang hilang kawalan ‘terbang’ ke atas bumbung sebuah rumah di kaki bukit dekat Jalan Kampung Tanjung Bachang, Seri Menanti, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta yang dikatakan terbabas dan merempuh bumbung sebuah rumah di kaki bukit di Jalan Kampung Tanjung Bachang.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pemandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari Seri Menanti ke Seremban.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh bumbung sebuah rumah yang berada di bawah bukit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan dan belakang kereta mengalami kecederaan ringan dan masih mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah.
“Manakala pemandu, iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun dan seorang lagi penumpang belakang tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Justeru katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas
Jalan 1959 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Foto kredit polis