1
1

SEREMBAN : Ketika ramai rakyat mengeluh kos sara hidup semakin meningkat, seorang wanita tampil dengan idea unik menjual pelbagai makanan dan kuih pada harga hanya RM3 demi membantu orang ramai menikmati hidangan murah, sedap dan mengenyangkan.
Pemilik lori makanan dikenali sebagai Nur Shaheerah Mansor, 32, berkata, idea tersebut tercetus selepas melihat ramai masyarakat terutama pekerja sekitar kawasan itu mencari makanan pada harga mampu milik.
Menurut Nur Shaheerah, dia mula berniaga sejak April tahun lalu di belakang Hospital Salam, Lavender Heights, Senawang di sini serta satu lagi lokasi di Sikamat.
“Konsep saya mudah, semua orang boleh makan dengan kenyang walaupun duit poket terhad. Sekarang kos hidup tinggi, jadi saya cuba bantu pelanggan dapat makanan sedap pada harga murah.
“Saya memang pernah kerja kedai makan dan kiosk sebelum ini. Bila tengok ramai orang susah dan vendor kecil perlukan sokongan, saya terdetik nak buat konsep lori makanan RM3 ini,” katanya ketika ditemui di Senawang di sini hari ini.
Lebih menarik, Nur Shaheerah berkata, lori makanan dikenali sebagai “Lori Kueh RM3 Boleh Sangat” itu menawarkan pelbagai jenis juadah termasuk nasi putih ayam berlada, nasi goreng cili api daging, nasi ikan keli, nasi ayam crispy, yong tau fu, ayam masak lemak cili api, makaroni serta aneka kuih-muih dan pencuci mulut.
“Turut menjadi pilihan pelanggan ialah laksa, donut, vietnamese roll, popia, bergedil dan dumpling ayam. Semuanya RM3 sahaja.
“Walaupun harga yang dijual murah, saya tetap menitikberatkan aspek rasa dan kebersihan ,selain mendapatkan bekalan makanan daripada vendor sekitar Seremban,” katanyam
Jelas Nur Shaheerah, sambutan diterima sangat menggalakkan terutama dalam kalangan pekerja berhampiran sehingga kebanyakan menu nasi habis terjual sebelum pukul 2 petang.
“Saya mula berniaga dari pukul 12 tengah hari hingga 6 petang, Isnin sampai Jumaat. Tapi biasanya sebelum 6 petang memang banyak makanan dah habis.
“Ada pelanggan beli sebab nak cuba macam-macam makanan. Dengan harga RM3, mereka rasa berbaloi dan puas hati sebab pilihan banyak,” ujarnya.
Tambah graduan Diploma Teknologi Sistem Komputer dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau itu, keuntungan diperoleh tidak besar, namun cukup untuk meneruskan perniagaan sambil membantu masyarakat.
“Untung memang tak besar sebab saya jual murah dan buat makanan dalam kuantiti sederhana. Tapi saya puas bila tengok orang boleh makan kenyang.
“Kadang-kadang kalau makanan tak habis, pelanggan beli untuk disedekahkan kepada orang lain. Itu yang buat saya lagi semangat untuk teruskan,” katanya.
