1
1
SEREMBAN: Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui telangkup di dalam baldi berisi air di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.22 malam.
Menurut Mohd. Yatim, siasatan awal mendapati bayi tersebut dijaga oleh neneknya yang berusia 54 tahun pada pukul 9 pagi semalam ketika ibu dan bapanya keluar bekerja.
“Pada kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa dipercayai ditinggalkan tidur di dalam buaian ketika neneknya memasak dan menjemur pakaian.
“Tidak lama kemudian, wanita terbabit menyedari mangsa sudah tiada di dalam buaian sebelum menemui bayi itu dalam keadaan tertelangkup di dalam baldi berisi sedikit air sabun di halaman belakang rumah dengan kepala berada di bawah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Yatim berkata, bayi itu kemudian segera dibawa ke sebuah klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang oleh pegawai perubatan hospital berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan pada hari ini namun punca kematian masih menunggu keputusan siasatan makmal.
Katanya, polis telah menahan nenek bayi berkenaan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor R. Sinniah di talian 06-6033222.