PORT DICKSON: Golongan muda yang sertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 secara sukarela menerima sambutan menggalakkan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Briged Jeneral Samad Igom berkata, seramai 474 individu menyertai program tersebut secara sukarela bagi dua siri sebelum ini.
“Bagi siri pertama, seramai 265 pelatih hadir secara sukarela, manakala bagi siri kedua, seramai 209 pelatih turut hadir secara sukarela daripada keseluruhan 1,375 pelatih,” katanya.
Terdahulu, beliau ditemui pada Jerayawara Program Parlimen Belia Malaysia (PBMy) di Cawangan Latihan Khidmat Negara Kem Malbatt Village, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia merangkap Pengerusi Parlimen Belia, Datuk Dr. Ahmad Husaini Abdul Rahman.

Beliau berkata, kebanyakan pelatih sukarela terbabit menyatakan ingin membentuk jati diri, di samping memperoleh ilmu serta pengalaman sebagai persediaan berkhidmat kepada negara.
Tambahnya lagi, penyertaan tersebut membuktikan perspektif negatif terhadap pelaksanaan semula PLKN telah berubah apabila semakin ramai golongan muda tampil secara sukarela untuk menyertai program berkenaan.
Sementara itu, Samad berkata, modul PLKN 3.0 kini dilaksanakan dengan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh, merangkumi 70 peratus latihan ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan.
“Kami juga akan melaksanakan program rintis PLKN di IPT dengan sasaran kira-kira 6,000 pelatih bermula Jun ini dengan melibatkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sasaran kira-kira 1,000 pelatih peringkat diploma.
“Selain itu, pada bulan Ogos program sama akan diperluaskan ke tiga politeknik dengan anggaran 4,000 pelatih serta 1,000 pelatih di tiga Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.
Tambahnya, siri ketiga akan bermula 11 Julai hingga 24 Ogos depan melibatkan pembukaan Kem 504 di Keteri, Perlis serta peserta kelahiran 2008 perlu mengesahkan kehadiran sebelum 19 Jun ini.




